Sejumlah rakan sudi meluangkan masa menjadi “pembaca beta” bagi petikan salah sebuah cerpen (petikan awal sepanjang sekitar 600 perkataan) yang bakal terbit dalam buku Putaria. Sila klik di sini untuk maklumat berkaitan.
Pembaca beta diminta membaca petikan sekitar 100 patah perkataan dan menjawab soalan “Apa yang akan berlaku seterusnya?” sebelum petikan seterusnya (sekitar 100 patah perkataan) yang diakhiri dengan soalan sama dikirim kepada mereka.
Petikan cerpen dikirim dalam enam bahagian. Berikut dipaparkan reaksi ikhlas rakan-rakan yang sudi menjadi pembaca beta. Para pembaca beta — sama ada penulis atau bukan penulis — ternyata berfikiran amat kreatif dan imaginatif! Harap maklum bahawa kesemua jawapan adalah betul.
Selepas membaca Petikan 1:
Mogan akan mendapat sokongan daripada para pengikutnya yang masih tidak dapat menerima kenyataan dirinya disingkirkan dari parti. — Sa’adiah Shuib
Tiba-tiba pintu akan dibuka. Semua macai dan wartawan terdiam, sementara kedengaran bisik-bisik dengan suara terkejut. Morgan tergamam di pentas dewan. — Parimala Devi Meenakshi Sundram
Morgan sekali lagi menyatakan bahawa keadaan negara akan terkawal di bawah pemerintahannya. Dia berharap para macai sentiasa bersatu hati demi parti yang sangat disayangi. — Nor Azian Azami
Saya rasa Krishna akan muncul dan membuat kejutan. — Thanusya Shanmuganathan
Arivalahan sedang menonton siaran langsung sidang media itu menerusi media sosial dan terus menghubungi Morgan. Telefon bimbit Morgan bergetar di dalam poket seluar, tetapi tidak dipedulikannya. — Razlina Razali
Arivalahan tiba-tiba munculkan diri bersama beberapa rakannya di sidang media itu. Pandangan semua wartawan akan beralih kepadanya. — Varatharasan Subramaniam
Arivalahan akan muncul di pintu masuk bersama para penyokong setia. Morgan gementar, namun dia tidak menunjukkan rasa gementar itu dan buat tidak tahu sahaja. — M. Mahendran
Pembohongan demi pembohongan yang kononnya adalah benar akan terus dilontarkan oleh sang politikus. Hairan sungguh, para pengikut bagai terkunci akal dipukau. — Rushida Abdul Wahid
“Tugas utama kita pastilah mengukuhkan parti baharu ini dengan meyakinkan rakyat bahawa kitalah yang bakal merubah masa depan negara!” suara Morgan bergema lagi. — Fadhilah Ahmad
Selepas membaca Petikan 1–2:
Polis tiba di lokasi kejadian dan meminta semua wakil media dan orang ramai bersurai. — Sa’adiah Shuib
Rasa terkejut Morgan disembunyikan dengan senyuman dan dia mempersilakan Arivalahan ke pentas. Setiap mata di dewan terus memandang ke arah Morgan; menunggu reaksinya. — Parimala Devi Meenakshi Sundram
Politikus yang sentiasa bermain dengan fitnah bukan fakta pasti akan takut dengan bayang-bayang sendiri. — Rushida Abdul Wahid
Mogan yang tidak tahu hendak cakap apa dalam ucapannya, mula tergagap-gagap. James Arivalahan memandang tajam ke arah Mogan. Mogan tidak dapat meneruskan ucapannya. Dewan hingar-bingar. Semua mata memandang Arivalahan. Arivalahan naik ke pentas. Dia membatalkan sidang media. — M. Mahendran
Seorang wartawan berlari ke arah Arivalahan dan bertanya apakah tujuan dia datang ke sidang media berkenaan. Arivalahan menjelaskan bahawa dia hanya hendak bercakap dengan pengerusi baharu parti. — Varatharasan Subramaniam
Arivalahan naik ke pentas dan menolak Mogan ke tepi, lalu berdiri megah menghadap para wartawan yang sibuk mengambil fotonya. — Thanusya Shanmuganathan
Arivalahan terus menuju ke arah Morgan. Dia berhenti betul-betul di depan Morgan. Reaksi mukanya masih kosong. Dewan sunyi sepi beberapa ketika. — Razlina Razali
Selepas membaca Petikan 1–3:
Mariammah ialah jutawan kaum India yang sentiasa berada di belakang mereka untuk membantu. — Sa’adiah Shuib
Krishna bercadang mahu mendapatkan bantuan kewangan melalui Mariammah. Mariammah mempunyai rangkaian kenalan yang hebat belaka. Mungkin ramai yang akan sanggup membantu. — Rushida Abdul Wahid
Siapakah Mariammah? Saya rasa wanita itu akan memberi Krishna wang yang diperlukan. — Thanusya Shanmuganathan
Watak “Aku” dan Arivalahan terkejut setelah mengetahui siapa Mariammah sebenarnya. Krishna menyakinkan mereka bahawa Mariammah boleh menolong mengatasi masalah yang dihadapi. — Parimala Devi Meenakshi Sundram
Arivalahan terkejut mendengar kata-kata Krishna. Kemudian, dia bertanya kepada Krishna, sejauh manakah hubungannya dengan Mariammah sekarang. — Varatharasan Subramaniam
Mariammah merupakan anak seorang jutawan. Entah bagaimana Mariammah sudah jatuh cinta terhadap Krishna. Mungkin disebabkan kaliber Krishna dalam memimpin parti, selain memiliki rupa paras yang tampan. Mariammah sedia menampung semua kos dan perbelanjaan parti. — M. Mahendran
Selepas membaca Petikan 1–4:
Mogan akan menggunakan kisah silam Mariammah untuk menjatuhkan Krishna. — Thanusya Shanmuganathan
Watak “Aku” hanya berdiam diri tanda tidak berkenan dengan hubungan tersebut. Arivalahan pula cuba mengubah tajuk perbincangan. Krishna memahami perasaan mereka. — Parimala Devi Meenakshi Sundram
Kelihatan Krishna sedang berbual-bual menggunakan telefon bimbitnya di suatu sudut yang agak jauh daripada rakannya agar tidak keterlihatan. — Sa’adiah Shuib
Krishna dan Mariammah semasa zaman remaja adalah sahabat yang bersama secara lantang memperjuangkan nasib kaum mereka yang ditindas. Oleh kerana suatu peristiwa yang terjadi, mereka terpaksa melalui haluan berbeza. — Rushida Abdul Wahid
Arivalahan sebenarnya tertekan. Mariammah mahukan jawatan dalam parti pimpinan Arivalahan. Arivalahan tidak bersedia untuk itu. Mengetahui perkara ini, Morgan bertindak menyisihkan Arivalahan dari parti. Arivalahan tidak berganjak. Apa yang penting, duit dalam akaun banknya melimpah. Dia akan menjadikan Mariammah sebagai pengerusi parti. — M. Mahendran
Krishna faham akan niat sebenar Arivalahan. Dia memberitahu Arivalahan tentang hubungan sebenar dia dengan Mariammah; iaitu mereka hanya berkawan atas kepentingan politik. — Varatharasan Subramaniam
Selepas membaca Petikan 1–5:
Arivalahan bertekad meneruskan cita-cita dan visi Krishna. Perjuangan parti perlu berlandaskan matlamat awal penubuhan. Kalau pun perlu diberi nafas baharu, kena pastikan ia kekal atas landasan asal. — Rushida Abdul Wahid
Mariammah meneruskan perjuangan Krishna. Dia juga merancang untuk menuntut bela atas kematian Krishna. — Thanusya Shanmuganathan
Tiga das tembakan kedengaran sejurus polis tiba di sidang media haram tanpa permit itu. — Sa’adiah Shuib
Malam itu, Arivalahan menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak diketahui. Suara seorang perempuan mengatakan dia mahu berjumpa dengan Arivalahan. — Varatharasan Subramaniam
Walaupun Arivalahan tidak percaya akan kata-kata Mariammah, dia terpaksa dan dipaksa. Morgan yang sudah tahu muslihat Mariammah, tidak berdiam diri. Dia juga mengatur langkah. Sebagaimana dia menghapuskan Krishna, begitulah dia boleh hapuskan yang lain. — M. Mahendran
Watak “Aku” tersedar apabila Arivalahan membuat pengumuman bahawa Krishna akan kembali. Seluruh Dewan riuh. Wajah Morgan jelas menunjukkan rasa tidak puas hati. — Parimala Devi Meenakshi Sundram
Selepas membaca Petikan 1–6:
Dalam suasana genting itu, tiba-tiba Mariammah muncul bersama seorang anak muda; wajahnya persis wajah Krishna. Mariammah terus naik ke pentas, merampas mikrofon dan lantang berkata: “Saya ada bukti bahawa mereka berdua ini adalah pembunuh! — Rushida Abdul Wahid
Pergelutan berlaku antara mereka. Polis tiba tepat pada masanya. Sekujur tubuh terbaring kaku. — Sa’adiah Shuib
Semasa Morgan merampas mikrofon, dua das peluru dari jauh mengena dadanya dan dua lagi das tembakan mengena dada Arivalahan. Kedua-dua mereka mati dengan serta-merta. Orang lain berlari meninggalkan dewan. — M. Mahendran
Morgan sambil tersenyum menyembunyikan perasaan marah. Dia menyatakan bahawa parti perlu mengadakan mesyuarat sebelum mengambil keputusan. Watak “Aku” mula merasai ketegangan dalam parti. — Parimala Devi Meenakshi Sundram
Tanpa mikrofon, Arivalahan meninggikan suara, lalu mendedahkan bahawa Krishna telah dibunuh oleh Mogan, dengan bantuan “seseorang” yang tidak disangka-sangka. — Thanusya Shanmuganathan
Ternyata para pembaca beta memiliki daya kreativiti yang hebat. Malah, tidak dapat dinafikan bahawa ada beberapa “cadangan” dan “andaian” mereka hampir mengatasi kisah yang terkandung dalam cerpen asal saya!
Ceramah “Plot A Murder: Merangka Cerita” (16 Ogos 2020) mengkhusus kepada teknik menyusun plot yang padat serta mampu menarik minat pembaca dari mula hingga akhir, khususnya dalam memastikan pembaca tidak dapat mengagakdengan mudah apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerita yang sedang dinikmati.
Ceramah yang dijadualkan pada 30 Ogos 2020 bertajuk “Watak! Jangan Dedahkan Identiti” di mana saya “mengajar” penulis cerpen supaya jangan mendedahkan identiti dan maklumat diri watak kepada pembaca. Tentu ada sebab mengapa saya menyarankan demikian.
Menerusi kesemua karya dalam Putaria: Kumpulan Fiksyen Bahasa Malaysia (2020), saya turut berusaha menangani teknik plot dan pemaparan watak seperti ini sebaik-baiknya. Semoga mampu membuatkan para pembaca menikmati kesemua karya dari mula hingga akhir.